SYDNEY – Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dibidas beberapa pertubuhan Yahudi semalam selepas beliau menyifatkan kumpulan militan Islamic State (IS) di Iraq dan Syria lebih jahat daripada tentera Nazi kerana mereka ‘bermegah dengan kejahatan sendiri’.
Pemimpin Australia itu yang sedang menimbang untuk meluaskan kempen serangan udara terhadap IS di Iraq dan Syria susulan permintaan daripada Amerika Syarikat, membuat kenyataan tersebut ketika menggambarkan tindakan IS sebagai ‘kejahatan melampau’ dan ‘kekejaman tidak bertamadun’.
“Maksud saya, tentera Nazi melakukan kejahatan yang teruk tetapi mereka mempunyai rasa malu dan cuba menyorokkannya. Mereka ini (IS) pula bermegah dengan kejahatan sendiri.
“Ini perkara luar biasa, IS bertindak seperti manusia tidak bertamadun. Mereka menghebahkannya (kejahatan) kepada dunia dengan lantang sekali gus menambah satu dimensi baharu kepada kezaliman mereka,” kata Abbott kepada stesen radio 2GB di Sydney.
Komen beliau dibidas oleh ketua Majlis Eksekutif Orang Yahudi Australia, Robert Goot sebagai ‘tidak bijak dan amat malang’.
Goot dalam satu kenyataan balas menyatakan jenayah IS memang mengerikan tetapi ‘tidak boleh dibandingkan dengan pengumpulan sistematik berjuta-juta orang Yahudi yang dihantar ke kem-kem tahanan Nazi untuk tujuan pembunuhan beramai-ramai’.
“Mereka (Nazi) bertindak secara rahsia, bukan kerana malu tetapi untuk mengelak daripada dipertanggungjawabkan melakukan jenayah tersebut,” jelas Goot.
Abbott bagaimanapun mempertahankan kenyataannya pada satu sidang akhbar di Melbourne selepas itu dan menegaskan beliau ‘bukannya cuba untuk mengelaskan tahap kejahatan sesiapa’ tetapi mahu menyatakan bahawa IS berbeza kerana bermegah dengan kekejaman sendiri
0 Komentar untuk "IS Lebih Jahat Daripada Nazi _ Abbott"