Tidak tahu di mana silapnya, hinggakan namanya sering dilabel sebagai seorang artis yang bermasalah, suka berpeleseran dan pelbagai kisah keruh. Namun, Tasha tidak cepat melatah dengan apa yang berlaku.

" BUKA HATI UNTUK LELAKI "


Sensasi Hits berkesempatan bertemu dengan wanita berusia 28 tahun ini dan berpeluang menyingkap isi hatinya yang terlihat kuat ‘menelan’ pahitnya tohmahan daripada pihak luar.

HITS: Dihentam sana sini, apakah kekuatan yang Tasha pegang untuk menjalani kehidupan ketika ini?

TASHA: Alhamdulillah Tasha sekarang ini lebih positif dan tidak terlalu ambil pusing dengan cakap-cakap orang tentang diri Tasha. Ibu merupakan kekuatan Tasha. Tanpa dia sebenarnya Tasha sendiri pun tak kuat, boleh kalah. Ibu sentiasa faham keadaan Tasha dan dia sering bagi kata-kata semangat untuk Tasha hadapi semua ujian yang datang.

Apakah yang Tasha belajar berdasarkan ujian yang berlaku sebelum ini? Mungkin Tasha cuba untuk perbaiki daripada pengalaman lalu?

Saya kini lebih berhati-hati dan lebih mendalami setiap perjalanan hidup dan karier Tasha sendiri. Setiap hari Tasha belajar daripada kesilapan. Dugaan dan ujian yang hadir, kita sendiri tak duga. Tapi Tasha terima dengan reda, asalkan kita tak putus asa dan kena selalu fikir positif. Itulah yang buatkan Tasha bersyukur sangat-sangat.

Melihat kepada apa yang berlaku kini, adakah ia akan mempengaruhi dan beri kesan kepada kerjaya atau peribadi hingga buatkan Tasha jadi tertekan?

Tipulah kalau Tasha kata tak pernah kecewa dengan apa yang berlaku sebelum ini, tapi sampai bila nak bersedih? Kita tak digalakkan untuk terus rasa kecewa. Setiap apa yang berlaku itu adalah tarbiah daripada Allah untuk buatkan kita lebih kuat hadapi perjalanan hidup. Sebab itulah Tasha lagi suka ambil positif dan selalu bersangka baik.

Setiap kali ada isu, komen-komen peminat dalam Instagram Tasha pun tak kurang hebatnya, macam-macam kutukan. Tasha ada baca tak komen tersebut?

Sebelum tidur Tasha ada baca komen-komen pengikut dalam Instagram, tapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja lah. Buat apa kita nak simbah minyak dalam api, kan. Kita dah matang dan lebih tahu asam garam hal ini. Kalau kita terlampau ambil pusing sangat nanti diri Tasha yang tertekan. Kalau ada komen yang kurang ajar, Tasha akan sekat.

Kalau dilihatkan Tasha mampu pergi jauh dalam bidang lakonan, namun orang lebih cenderung untuk tahu hal peribadi daripada kerjaya. Tasha pun agak jarang muncul di kaca televisyen, mungkin boleh komen sedikit?

Kalau dulu Tasha mencari duit dengan berlakon tapi sekarang ini Tasha lebih mencari kepuasan dalam lakonan. Tasha nak buat sesuatu kerja itu biarlah datang dari hati. Kalau hati tak selesa, Tasha tak akan ambil tawaran tersebut.

Jadi apa yang Tasha inginkan ketika ini? Masih banyak ke tawaran berlakon sekarang ini?

Hmm, masih ada rezeki. Sebenarnya kerja ini perlukan hati yang ikhlas dan kena ada keserasian dalam bekerja. Tak boleh lah asal boleh sahaja kan. Alhamdulillah tawaran berlakon masih ada, cuma Tasha perlukan masih untuk baca skrip. Tasha tak akan terima tawaran berlakon watak yang sama lagi selepas ini.

Mengenai soal hati pula, selepas putus cinta dengan ‘dia’, takkan takda sesiapa dah sekarang ni?

Belum masanya lagi untuk Tasha fikirkan soal itu. Tasha masih single dan biarlah Tasha berehat dan ambil masa untuk tenangkan fikirkan. Selama enam tahun Tasha bekerja dan tak pernah ambil cuti panjang. Biarlah Tasha muhasabah diri buat sementara waktu ini.

Dalam pada Tasha mencari ketenangan dan muhasabah diri, mungkin ada lelaki ada yang cuba dekati Tasha? Lelaki yang macam mana Tasha inginkan?

Tipulah tak ada kan, tapi kalau hati dah kata tak suka, nak buat macam mana lagi kan? Tasha tidak menutup sepenuhnya hati untuk mana-mana lelaki. Tapi seperti yang Tasha katakan tadi, kalau tak ada keserasian buat apa kita terima kan? Malah, Tasha tak pernah letakkan kriteria tentang lelaki, cukup sekadar dia boleh terima Tasha dan jujur serta sanggup mempertahankan masa depan kami bersama.
Dengar cerita Tasha ada dapat satu tawaran daripada produksi Indonesia?

Ya memang ada. Saya ada terima panggilan dari sana. Tapi masih was-was lagi untuk terima sebab Tasha perlukan masa untuk berehat. Sepatunya Tasha akan berlakon bersama dengan Bunga Citra Lestari dan Redza Minhat tapi terpaksa tolak. Tasha percaya kalau ada rezeki dalam bidang lakonan, pasti ada satu hari nanti.