Bergelar selebriti, tentunya setiap perilaku akan diintai oleh peminat dan juga bukan peminat. Adira juga tidak terlepas daripada menjadi bahan terutamanya di laman sosial.
Mungkin ramai yang terlihat komen-komen negatif yang dilemparkan kepada penyanyi asal Sabah ini mengenai penampilan dan aktiviti terbarunya - bermain papan roda elektronik.
Ada yang menggelarkannya 'hantu', 'ahli sihir', bahkan ada juga yang mendoakan agar dirinya tidak boleh lagi berjalan. Memang melampau.
"Saya tidak kisah jika mereka ingin menghina saya dengan pelbagai panggilan. Tetapi apabila sampai ke tahap mendoakan yang buruk, saya masih boleh tahan, tetapi ibu saya yang terasa dengan kata-kata mereka di laman sosial itu," jelasnya.
"Disebabkan itu, saya cuba memohon kepada para pengikut di Instagram supaya menjaga kata-kata mereka dalam menulis komen. Saya perlu menjaga hati banyak pihak terutamanya, ibu saya," katanya lagi.
Ditanya sama ada dia akan 'block' pengikut-pengikut yang merupakan 'haters', Adira menidakkan tindakan tersebut, sebaliknya cuba untuk tidak mudah melenting.
"Saya biarkan saja. Kalau komen-komen itu sehingga mengaibkan dan melibatkan keluarga, saya akan mempertimbangkan untuk 'block' orang itu," jelasnya.
Adira kini nampaknya mula menanam minat yang mendalam bermain dengan gajet terbarunya. Menurutnya, dia kini mempunyai enam buah gajet elektronik tersebut dalam simpanannya.
"Sebenarnya, saya bukan seorang yang rajin bersenam. Jadi, kalau ada masa terluang, saya akan bermain dengan gajet itu contohnya di rumah, dan pusat membeli belah yang membenarkan saya berbuat demikian. Selain itu, lokasi lain adalah di ruang letak kereta," katanya lagi yang nampak teruja bercerita mengenai alatan itu.
Adira kini baru sahaja muncul dengan single terbarunya yang berjudul 'Kekasih Teragung Dunia' ciptaan Edry Abd Halim.
0 Komentar untuk "Ada yang mendoakan agar Adira tidak boleh lagi berjalan"