Kelibat Pontianak Di Kubur Lama LPT2,Pengguna Lebuhraya Ketakutan

PENGGUNA Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) tidak menolak kemungkinan wujudnya gangguan makhluk halus di laluan itu.

Umum mengetahui LPT2  dicop sebagai ‘lebuh raya berhantu’ rentetan kes kemalangan maut yang berterusan berlaku di laluan sepanjang 184 kilometer itu sejak dibuka sehingga sekarang.

Jolokan itu diberi orang ramai kerana bagi segelintir mereka kemalangan meragut nyawa yang berlaku itu bukan semata-mata berpunca daripada faktor yang boleh dilihat dengan mata kasar sahaja sebaliknya ia turut berkait dengan gangguan makhluk ghaib.

Perihal LPT2 yang kononnya ‘keras’ dan punya ‘penunggu’ juga turut rancak diperkatakan di media sosial terutama di Facebook, malah ada netizen yang tampil menceritakan kisah seram yang pernah dialami untuk peringatan pengguna LPT2 yang biasa menggunakan laluan itu dan perkongsian kisah seram itu turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagi mengetahui sejauh mana dakwaan berkenaan, Sinar Harian mengupas isu tersebut dan berjumpa dengan mangsa kemalangan dan pengguna LPT2 yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Rata-rata mereka tidak menolak kemungkinan kemalangan turut dipengaruhi faktor gangguan makhluk halus berdasarkan pengalaman seram yang pernah dilalui.

Nampak langsuir bergayut pada papan tanda elektronik

Isteri peneroka Felda Neram 2 Kemaman, Senani Omar, 53, berkata, kereta yang dinaikinya sekeluarga nyaris terbabas selepas anak lelakinya yang memandu terkejut melihat lembaga perempuan berbaju putih labuh dan berambut panjang sedang bergayut pada papan tanda elektronik  atau VMS.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 malam berdekatan kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing LPT2 pada awal September lalu semasa mereka empat beranak dalam perjalanan balik dari Kuantan ke rumah mereka di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru.
“Waktu itu makcik duduk di tempat duduk penumpang depan. Tapi semasa tiba di kawasan Plaza Tol Jabor, makcik bersama menantu dan seorang lagi anak yang duduk di belakang tertidur.

“Hanya beberapa ratus meter untuk sampai di depan R&R Perasing, anak makcik, Wan Shahdillah Wan Abdullah, 28, yang memandu itu tiba-tiba nampak langsuir sedang tergantung pada VMS hingga dia terperanjat dan kereta Proton Wira kami hampir terbabas ke kanan jalan. Ketika itu, VMS itu gelap dan tak ada tulisan cerah seperti biasa,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dalam keadaan panik berkenaan mereka bernasib baik kerana laluan itu lengang dan anaknya yang bekerja sebagai pemandu lori sawit sempat mengawal stereng dan berhenti seketika di lorong kecemasan.

“Nasib baiklah hanya selang beberapa saat lepas nampak langsuir itu ada bas ekspres yang lalu jadi anak makcik terus memandu dengan mengekori belakang bas hingga tiba ke susur keluar Plaza Tol Cheneh,” katanya.

Namun, ibu sembilan anak itu berkata, anak keempatnya itu tidak menceritakan kejadian itu kepadanya sebaik dia tersedar dari tidur apabila sudah tiba di rumah kira-kira jam 11.30 malam.
“Dia cuma cerita pagi esoknya dan hari itu juga dia ambil cuti kecemasan,” katanya.
Terlihat wanita berjubah putih

Gambar ini aku rakam di sebelah tanah perkuburan lama di sebelah highway. Macam crita juga la orang suka bercerita tentang tempat ini termasuklah sebuah tanah perkuburan lama di bulatan batu 4.

Kelibat wanita berjubah putih labuh dengan rambut panjang mengurai turut dilihat seorang pekerja kilang sawit, Mohd Muradzi Mohd Nawi, 20, kira-kira tiga jam selepas berlaku kemalangan yang meragut nyawa dua beranak yang juga jiran hadapan rumahnya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.40 malam pada 17 Oktober lalu di Kilometer 273.9 susur keluar ke Plaza Tol Cheneh itu, seorang peneroka Felda Neram 2, Hasan Abd Wahab, 53, dan anak sulungnya, Hanis Shazwani, 21, terbunuh sementara isteri dan anak bongsunya cedera.

Mohd Muradzi berkata, sejurus mendapat khabar mengenai kemalangan yang menimpa jirannya itu, dia bersama abangnya, Mohd Mutalib, 33, segera bergegas ke Hospital Kemaman di Chukai untuk menziarahi.
“Kami balik ke rumah ikut LPT2, namun di separuh jalan saya nampak satu lembaga wanita yang pakai baju putih labuh dan rambut panjang duduk di atas pengadang jalan di jejambat Lubuk Batu, iaitu lebih kurang lapan kilometer sebelum tempat arwah Pok Hasan kemalangan.

“Tapi muka lembaga itu saya tak nampak sebab gelap. Menggeletar badan saya masa itu dan waktu kami lalu di bawahnya ayat-ayat suci al- Quran tak putus-putus saya baca dalam hati. Waktu itu saya sempat toleh ke arah jam dan jarum tunjukkan pukul 3 pagi,” katanya.
Setelah tiba di rumah, Mohd Muradzi yang bekerja di Bukit Bandi, Cerul pelik kerana abangnya yang memandu kenderaan mengakui tidak nampak apa-apa sepanjang perjalanan pulang mereka ke rumah.
“Sebelum ini saya cuma dengar cerita orang saja pasal macam-macam kisah mistik sepanjang LPT2 ini. Tapi lepas lihat sendiri, tak tahu nak cerita macam mana perasaan waktu itu,” katanya.
Menurutnya, dari pelbagai versi cerita yang pernah didengarnya terdapat satu kisah yang paling diingatnya iaitu kisah rakannya sendiri yang bekerja sebagai pemandu lori dan pernah terserempak dengan seorang warga emas lelaki berkopiah yang berjalan kaki dan menahan lori yang dipandu pada jam 2 pagi di hadapan R&R Perasing.

Sebaik sahaja ditahan, rakan Mohd Muradzi memberhentikan kenderaan dan bertanya mengenai arah tuju pakcik lewat usia itu.
“Pakcik itu jawab ‘mahu ke depan tu sikit’. Tapi dia bukan mahu tumpang kawan saya sebaliknya dia pesan pada kawan saya supaya hati-hati. Dia bagitahu jalan di Perasing itu tak elok sebab ada kisah-kisah lama. Katanya di kawasan itu adanya kubur-kubur lama.

“Saya juga pernah dengar yang kawasan Lembah Perasing di kawasan ini adalah perkuburan besar komunis puluhan tahun lalu dan dalam banyakbanyak lokasi di sepanjang LPT2 ini difahamkan kawasan Perasinglah paling ‘keras’,” katanya.

Mangsa terselamat trauma

Sementara itu, mangsa kemalangan yang terselamat, Salimah Ghalam, 51, yang juga ibu kepada tiga anak mengakui terkejut apabila mendengar kisah jirannya melihat lembaga wanita berambut panjang selepas tiga jam mereka empat beranak kemalangan.
“Muradzi ceritakan kepada saya apa yang dia nampak itu lepas seminggu kami kemalangan. Dia cerita pada saya dekat waktu senja semasa saya sedang termenung di depan rumah.

“Saya pun tidak tahu apa yang arwah suami nampak waktu kami kemalangan. Saya yang duduk sebelah suami tak tidur pun waktu kami kemalangan dan seingat saya secara tiba-tiba kereta terbabas langgar pembahagi jalan sebelum saya pengsan sekejap,” katanya.
Ketika kejadian, Salimah bersama arwah suami dan arwah anak sulungnya serta anak bongsu, Hanis Shazhizatul, 14, dalam perjalanan balik dari Kampung Ibok, Kijal kerana menziarahi adiknya yang tercedera akibat terkena letupan belon gas.

Hanya anak keduanya, Hanis Shazhirah, 19, yang tidak terlibat dalam nahas itu kerana anak perempuannya itu tidak tinggal di rumah disebabkan belajar di Kolej Islam Pahang (Kipsas).

“Saya tak pernah lalu LPT2 sebelum ini tapi mungkin arwah suami dah banyak kali lalu. Sampai sekarang saya masih trauma dan tak mahu lagi lalu jalan itu. Sebagai mangsa, saya tak tolak kemungkinan faktor mistik turut jadi penyebab kemalangan kerana dalam al-Quran sendiri pun sudah dinyatakan ada makhluk lain dicipta selain manusia,” katanya.

Rasa mengantuk ketika lalui tempat ‘keras’

Pemilik pusat rawatan alternatif, Laila Husin, 56, mengakui banyak kali dia hampir terbabas setiap kali melalui ‘lokasi keras’ di LPT2 sekitar Kemaman berikutan rasa mengantuk yang teramat sangat ketika melalui laluan itu.
“Apa yang saya perasan, ada tiga tempat yang tiba-tiba kepala saya rasa hanyut dan datang rasa mengantuk yang teramat sangat setiap kali melalui LPT2,” katanya.
Menurutnya, lokasi itu ialah sekitar R&R Perasing yang menjadi lokasi enam beranak maut dalam kejadian 14 Oktober lalu, di Cheneh (lokasi kemalangan melibatkan bekas Ketua Polis Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam) dan sebelumPlaza Tol Kijal.

Katanya, rasa hanyut dan mengantuk itu dirasainya pada ketika melalui lebuh raya itu pada waktu siang dan bukan pada waktu malam.
“Yang saya pelik, saya bukannya tak cukup tidur pun. Setiap kali lalui ikut LPT2 mesti saya mengantuk ketika lalu tiga lokasi itu. Kaki saya yang tekan pedal minyak seolah-olah tak rasa apa-apa. Kadang-kadang saya terlelap beberapa saat, sebab itu saya hampir hilang kawalan banyak kali. ‎

“Dalam keadaan begini apa yang penting kita kena basahkan mulut dengan bacaan ayat suci al-Quran dan zikir, malah sebelum mulakan perjalanan juga perlu amalkan baca doa agar sentiasa dilindungi. Dari pengalaman yang saya lalui ini saya percaya adanya gangguan makhluk ghaib tapi ajal maut semuanya di tangan ALLAH SWT,” katanya.
Kawasan Bukit Belah inilah didakwa pengguna terserempak lembaga hitam melintas.

 SEORANG pengguna, Ahmad Aziz Jaafar, 37 berkata, dia pernah mengalami gangguan ketika menggunakan LPT2 tetapi tidak mengendahkannya.


Insiden seram juga berlaku kepada rakannya sendiri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil di awal lebuh raya berkenaan dibuka.

“Pernah berlaku ketika saya dalam perjalanan untuk mengambil kawan yang keretanya rosak di LPT2 apabila diganggu dengan siulan menakutkan.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi dan ketika saya memandu terdengar siulan di tempat duduk belakang membuatkan saya seriau," katanya.

Menurutnya, bagi menghilangkan bunyi itu, dia memasang radio dengan kuat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam hatinya.

Apabila tiba di kawasan terang, dia memberhentikan kereta dan memeriksa di bahagian belakang tetapi tiada apa-apa.

Ahmad Aziz turun menceritakan satu lagi insiden menyeramkan iaitu ketika dia bersama rakan berhenti di R&R Ajil.
Menurutnya, ketika itu rakannya menaiki kenderaan bersama isterinya, manakala dia memandu bersendirian.

“Ketika di R&R Ajil, saya nampak isteri kawan saya turun untuk ke tandas dan setelah selesai dia naik semula ke kenderaan dan kami bergerak ke rumah masing-masing.

“Apabila tiba di rumah rakan di Jerangau Barat, saya keluar dari kereta, manakala isterinya tidak berganjak dari tempat duduknya.

“Bagaimanapun, dia mendapat panggilan telefon daripada isterinya dan walaupun agak pelik dia mengangkat dan apa yang mengejutkan si isteri sebenarnya masih berada di R&R Ajil.

“Apabila dilihat di dalam kereta, makhluk yang menyerupai isteri sudah tiada dan barulah dia menyedari yang berada di sebelahnya itu bukanlah isterinya," katanya.

Ahmad Aziz berkata, cerita-cerita mistik memang banyak diperkatakan termasuk ada yang mendakwa nampak lembaga hitam yang besar di atas jejambat.

Menurutnya, memang perkara mistik tidak boleh diketepikan tetapi dia percaya kebanyakan kes kemalangan maut yang berlaku adalah disebabkan kecuaian sendiri.

“Sebagai pengguna kita perlu lebih berhati-hati dan memandu mengikut had laju supaya tidak berlakunya kemalangan meragut nyawa,” katanya.

Lembaga besar di sempadan Ajil-Bukit Besi

Seorang penarik kereta atau “Call Man”, Shamsudian Salleh, 43 berkata, kerjanya sebagai tukang tarik kereta yang mengalami kerosakan akibat kemalangan membuatkannya sentiasa berada di LPT2 dan pelbagai faktor sebenarnya boleh menyumbang kepada kemalangan.

Kisah-kisah mistik yang diperkatakan oleh orang ramai juga bukan perkara asing baginya walaupun tidak pernah mengalaminya sendiri.

Menurutnya, paling banyak tiga kes kemalangan berlaku dalam sehari tetapi kadang-kadang ada juga dalam seminggu tiada kemalangan.

“Antara kisah makhluk halus yang popular di kawasan ini ialah kehadiran lembaga besar di sempadan Ajil dan Bukit Besi.

“Satu lagi gangguan mahkluk berambut panjang dan berpakaian serba putih di sekitar Jerangau dan laluan itu memang berlaku kemalangan.

“Ada juga rakan yang kemalangan selepas terlihat lembaga hitam melintas.

“Bagaimanapun, saya percaya kemalangan yang berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk kehadiran binatang peliharaan seperti lembu dan binatang liar seperti badak, beruang dan tapir,” katanya.

Kubur lama dipindahkan

Biarpun laporan pihak berkuasa menyatakan punca utama berlakunya kemalangan di LPT2 disebabkan kecuaian pengguna, namun isu gangguan makhluk halus tetap menjadi perbualan hangat pengguna serta penduduk.

Malah, ada yang mempercayai unsur-unsur mistik  turut menjadi penyebab pusara di lebuh raya memandangkan satu demi satu kemalangan maut  terus berlaku apatah lagi tragedi berdarah itu terjadi di lokasi kilometer yang hampir sama.

Tragedi meragut lima nyawa termasuk empat daripadanya rentung di Kilometer (KM) 386 pada 24 Mei lalu begitu meninggalkan kesan di hati, selain insiden maut melibatkan seorang peronda LPT, Razali Ishak,44, pada 27 Jun 2014 di KM 415.1.

Kedua-dua kes tersebut turut menjadi viral di laman sosial sehingga ada yang mengaitkan kejadian kemalangan maut melibatkan peronda LPT mempunyai kaitan dengan usur mistik ekoran adanya ‘seseorang’ dalam sekeping gambar diambil orang awam di lokasi kejadian.

Bagi warga emas dari Kampung Peroh, Che Nik Che Wil,71, cerita ada sesuatu yang melintas sehingga dikatakan punca pemandu terbabas antara kisah sering didengarinya dan rata-rata ia berlaku di kawasan hampir sama termasuk satu lokasi dipanggil Bukit Belah.

“Pakcik tidak pernah alaminya tetapi sering dengar cerita sama beberapa kali iaitu ada benda melintas lalu menyebabkan pemandu terbabas atau kemalangan. Dikatakan juga adanya kubur lama tetapi telah dipindahkan sebelum projek pembinaan LPT2 dimulakan dulu.

“Ketika kerja-kerja pembinaan dilakukan dahulu juga pakcik dengar cerita ada beberapa orang  pekerja meninggal dunia kerana tragedi termasuk kenderaan terbalik. Malah, sewaktu lebuh raya belum dibuka ia telah meragut nyawa seorang penunggang motosikal.

“Daripada cerita didengar, penunggang motosikal itu berasal daripada Felda Jerangau Barat. Mayatnya hanya dijumpai sebelah petang oleh penternak lembu, ketika itu darah yang mengalir telah pun kering. Pakcik difahamkan dia terbabas,” ujarnya.
0 Komentar untuk "Kelibat Pontianak Di Kubur Lama LPT2,Pengguna Lebuhraya Ketakutan"

Back To Top