Tun M : Alasan Isu Dana RM2.6 Bilion Tidak Boleh Diterima

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia tidak akan percaya Perdana Menteri yang dipilih melalui pilihan raya adalah juga calon pilihan pihak asing sehingga mendapat dana derma RM 2.6 bilion dari luar.
Menurutnya, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui perkara sebenar bahawa dana sebanyak itu adalah hadiah peribadi kepada Perdana Menteri Malaysia untuk beliau memenangi pilihan raya.
“Rakyat Malaysia tidak akan percaya bahawa dana itu adalah sumbangan di atas pendirian Malaysia terhadap negara Islam yang lantang menentang gerakan Islamic State,” katanya dalam entri terbaru, chedet.cc .
Tun Mahathir mempersoalkan tujuan pihak yang mendermakan jumlah wang yang begitu besar kepada sebuah negara lain yang didakwanya untuk kegunaan pilihan raya akan datang.
Jika benar, mengapa pasukan penyiasat khas gabungan empat agensi Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Peguam Negara tidak mengesahkannya tetapi atas kuasa eksekutif Peguam Negara telah dipecat, ketua SPRM bercuti dan menuduh Bank Negara membocorkan rahsia kerajaan.
“Sekarang SPRM dikatakan meneruskan siasatan mengenai wang derma RM 2.6 bilion itu.
“Namun, jika Najib serius untuk disiasat mengenai RM2.6 bilion di Ambank, beliau perlu membenarkan anggota pasukan siasatan khas yang asal, bukan diganti dengan petugas baru yang tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.
Tun Mahathir turut mengesa agar Datuk Seri Najib Razak dan penyokongnya perlu menghentikan cubaan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya adalah wang derma.
The Rakyat Post
0 Komentar untuk "Tun M : Alasan Isu Dana RM2.6 Bilion Tidak Boleh Diterima"

Back To Top